Wednesday, September 11, 2019

Baca Sampai Habis! 5 Sebab JANGAN Pergi ke Malam Pentakosta: Roh Kudus & Penuaian 2019


Malam Pentakosta: Roh Kudus & Penuaian akan menjadi salah satu sejarah gereja di Sarawak terutamanya dan di Borneo secara amnya. Seramai 25,000 orang Kristian dari pelbagai demominasi, kaum dan tempat – yang juga dari Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia – dijangka akan hadir pada 14-15hb September 2019, pelayanan selama 2 hari, yang akan berlangsung di Dewan Jubilee Sports Ground, Jalan Datuk William Tan, Kuching. Ramai pemimpin-pemimpin denominasi bersatu dan menggalakan umat-umat Kristian untuk datang dan berdoa agar TUHAN “akan mencurahkan Roh-Nya” (Kisah Para Rasul 2:17), memperkuatkan iman dan membangkitkan semangat untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Pengkhutbah utama dalam dua hari itu ialah Pastor Phillip Mantofa dari Gereja Mawar Sharon di Surabaya, Indonesia. Ribuan sukarela juga akan membanjiri dewan Jubilee dan menjayakan malam Pentakosta. Saya kagum dengan kemurahan hati TUHAN kerana telah menggerakan hati Kerajaan Negeri Sarawak kerana membenarkan aktiviti ini terjadi. Ini yang menjadikan saya bangga menjadi orang negeri Sarawak!

Acara sebesar ini tidak akan ada tanpa kontroversi dan konflik. Inspirasi dari TUHAN tetapi manusia yang menjayakannya, jadi, ketidaksempurnaan dan kesilapan pasti akan terjadi. Ini perkara biasa (walaupun begitu, kita tidak harus mengambil mudah dan sambil lewa) dan sebagai pengikut Kristus kita harus sedar bahawa “musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa” (1 Petrus 5:8) yang bermaksud Iblis dan roh-roh jahat akan berusaha untuk mencari kesalahan, mencubai, memecah-belahkan, mengelirukan, membisikan berita palsu, menimbulkan rasa tidak puas hati, benci, dendam dan peperangan roh. Dimana pekerjaan Roh Kudus nyata disitu juga roh-roh jahat bekerja keras lagi. Tetapi jangan takut, “[Roh Kudus] yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh [roh-roh jahat] yang ada di dalam dunia” (1 Yohanes 4:4). Tiada lawan!

5 Sebab Jangan Pergi ke Malam Pentakosta

Saya menggalakan orang pergi ke Malam Pentakosta. Sesuatu yang baik dan luar biasa akan berlaku. Dimana ada kesatuan, TUHAN akan bekenan. Tetapi apabila saya berfikir dan berdoa tentang acara ini sejak beberapa hari lalu, ada 5 sebab yang timbul di dalam hati saya tentang kenapa orang tidak harus pergi. Nilai sendiri dan fikirkan baik-baik apa yang saya cuba sampaikan:

Pergi awal, jangan terlambat
Bawa keluarga, sanak-saudara &
kawan-kawan kamu
SEBAB #1 Jika Kamu Mencari Mukjizat Sahaja dan Bukannya ALLAH BAPA. Ramai orang Israel telah melihat sendiri bagaimana Tuhan Yesus menyembuhkan orang dan mengadakan banyak mukjizat dikalangan mereka tetapi “mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya” (Yohanes 12:37). Baca Alkitab khususnya kitab-kitab Injil dan kamu akan mendapati bahawa Yesus telah melakukan banyak “mujizat, keajaiban dan tanda” (Kisah Para Rasul 2:22) melalui kuasa Allah Bapa namun hanya segelintir sahaja yang menaruh iman kepada-Nya. Bagaimana hal ini boleh terjadi? Ini kerana ramai yang berminat dengan mukjizat tetapi tidak kepada Pemberi mukjizat. Mukjizat ialah seperti papan tanda (signboard atau signpost) yang menunjukkan arah kepada kita ke destinasi iaitu Allah Bapa.

Apa yang akan terjadi sekiranya kamu datang ke Malam Pentakosta dengan penuh harapan dan kamu tidak mengalami apa-apa ‘mukjizat’? Adakah kamu akan tetap beriman kepada Allah Bapa? Adakah Firman Allah yang Hidup cukup? Mukjizat terbesar ialah apabila Allah Bapa “menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yohanes 3:16). Apa itu? Eh tidak, Siapa itu? Anak-Nya, Yesus Kristus. Sudahkah kamu menerima mukjizat terbesar ini?

SEBAB #2 Jika Kamu Terlalu Mengagung-agungkan Philip Mantofa dan Bukannya YESUS KRISTUS. Manusia – termasuk saya – ada kecenderungan untuk terlalu mengagung-agungkan hamba-hamba Allah, lebih-lebih lagi orang yang terkenal, berkarismatik dan bertalenta & kurnia seperti saudara Mantofa. Selepas Rasul Paulus menyembuhkan seorang lumpuh di Derbe, orang-orang di sana ingin memuja dia dan Barnabas dengan berkata, “Lihatlah, tuhan-tuhan telah menjelma sebagai manusia dan turun ke dunia” (Kisah Para Rasul 14:11). Tetapi mereka menjawab mereka, “Mengapa kamu berbuat begini? Kami manusia biasa seperti kamu sekalian!” (ayat 15). Ada sekali selepas malaikat menurunkan wahyu Allah kepada Rasul Yohanes, dia menulis: “Apabila aku mendengar and melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku. Tetapi dia berkata kepadaku, ‘Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu… Hanya Allah yang harus kamu sembah’” (Wahyu 22:8-9).

Jika bukan Philip Mantofa, adakah kamu juga akan datang? Bagaimana dengan pendeta atau pengkhutbah lokal, adakah mereka tidak mempunyai kuasa dan pemberian Roh Kudus seperti Mantofa? Sebagai hamba Allah yang rendah hati (menurut kesaksian yang saya dengar, bukan atas pengalaman peribadi), Pastor Mantofa sendiri pasti akan berkata, “Jangan mengagung-agungkan saya, semuanya untuk dan kepada TUHAN.” Kadang-kadang para pemimpin Kristian pula yang terlalu membesar-besarkan personaliti Pastor Mantofa dari cara mereka bercakap, bersaksi dan tahap kekaguman mereka. Jadi, siapa yang harus kita berkeinginan untuk berjumpa secara peribadi pada malam Pentakosta? Tuhan Yesus Kristus! Banyak petikan Firman yang menunjukan bahawa hanya Yesus yang layak disembah. Satu yang harus dihafal, diingat dan disimpan di dalam hati ialah Filipi 2:10-11, “[Kepada] nama Yesus segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi, and semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa.”

SEBAB #3 Jika Kamu Mengingin Pemberian Roh Kudus tanpa Mahu Hidup dalam Pimpinan ROH KUDUS. Lebih kurang sama dengan Sebab #2. Mengingini pemberian tetapi tidak semesti si Pemberi. Baca kurnia-kurnia rohani dalam 1 Korintus 12 terutamanya dari ayat 1 sehingga 11. Berdasarkan kurnia-kurnia ini, walaupun iya nya datang daripada Roh Allah, ia dapat disalahgunakan dan diterbalikan oleh Iblis untuk kegunaan diri sendiri dan untuk kemuliaan dan kekayaan sendiri apabila orang itu mulai menyimpang daripada ajaran Kristian yang sebenar. Saya boleh senaraikan beberapa nama televangelist yang melakukan demikian tetapi tidak perlu kerana ia sangat memalukan. Oleh itu, hidup menurut dan dalam pimpinan Roh Kudus itu sangat penting. Ini adalah salah satu kelemahan acara Kristian yang besar seperi Malam Pentakosta, iaitu, kebanyakan semangat orang akan berkobar-kobar tetapi selepas beberapa hari kemudian mereka hidup seperti biasa semula. Kenapa? Kerana tidak hidup dalam pimpinan Roh Kudus. Bagaimana kita boleh mengetahui jika kita hidup dalam pimpinan-Nya atau tidak? Baca Galatia 5:1-26. Sebagai contoh, adakah orang itu akan berhenti hidup dalam “kemabukan, berpesta keterlaluan” (ayat 21) selepas Malam Pentakosta? Kalau masih sama… itu maksudnya pengikut palsu!

SEBAB #4 Jika Kamu Berfikir Bahawa Penaburan dan Penuaian HANYA Berlaku Ketika Acara Itu Sahaja. Ini kesilapan yang paling besar. Kemungkinan Pastor Mantofa dan kumpulan pernah terjatuh dalam fikiran seperti ini. Contohnya berkata, “Dalam acara Malam Pentakosta lepas, seramai 3,000 orang telah diselamatkan melalui pelayanan kami (atau namakan organisasi/gereja).” Saya sendiri juga akan terjatuh dalam kesilapan ini sekiranya saya berfikir ada orang datang kepada Kristus melalui pelayanan saya. Ini silap! Untuk menuai, kita kena menabur. Dari mula penaburan sehingga penuaian, proses yang dilalui mengambil masa, sentiasa berterusan dan ia harus dibaja. Oleh itu, setiap kali ada penuaian, kita harus berfikir bahawa kita menuai hasil daripada penaburan orang lain dan diakhirnya ia ialah hasil bersama, bukan individu. Yesus berkata kepada para murid-Nya, “Dalam hal ini benarlah pepatah, ‘Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.’ Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya” (Yohanes 4:37-37). Bagi Malam Pentakosta itu nanti, kita hanya menabur – Firman Allah, mukjizat daripada Roh Kudus dan kesaksian hidup – dan pada masa yang sama hanya menuai hasil tuaian yang telah dilakukan oleh seluruh orang Kristian yang secara diam-diam, terang-terang, sengaja atau tidak sengaja dalam mengubah kehidupan orang yang akan dituai nanti. Dipendekkan cerita, apa yang saya ingin sampaikan ialah: jika kamu melihat hasil tuaian yang banyak pada malam itu nanti, kamu kena sedar bahawa iya nya bukan hanya disebabkan oleh kehadiran dan pelayanan Pastor Philip Mantofa tetapi seluruh umat Kristian yang setia bersaksi dan menjadi saksi bagi TUHAN. Itu termasuk kamu!

SEBAB #5 Jika Kamu Akan Meninggalkan Iman dalam Kristus Apabila Kamu Mengalami Kesusahan, Pencubaan dan Penganiayaan. Lumpuh kamu mungkin akan sembuh. Kanser kamu mungkin akan hilang. Mata kamu mungkin akan berlinangan air mata. Tangan kamu mungkin terangkat memuji-Nya. Suara kamu mungkin berteriak nama Yesus. TETAPI, jika iman kamu tidak terus-menerus bertumbuh di dalam Dia, kamu akan mudah jatuh apabila masalah melanda kamu. Orang yang pergi ke satu acara besar Kristian seperti Malam Pentakosta kemudian beranggapan bahawa dia boleh mengalihkan gunung dalam masa satu hari ialah seperti “orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!” (Matius 7:26-27). Tetapi, jika kamu menjadikan acara itu sebagai titik permulaan untuk kamu terus-menerus membaca, merenung dan melakukan Firman Allah, maka, kamu seperti “orang yang bijak yang membina rumah di atas batu,” semua masalah itu terjadi kepada kamu “tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu” (Matius 7:24-25). Siapa kata masalah seperti kesusahan, pencubaan dan penganiayaan tidak akan berlaku kepada kamu? Sejurus selepas kamu menerima Kristus dalam kehidupan kamu, semua ini akan terjadi! Baca Kitab Kisah Para Rasul, selepas Pentakosta (bab 2), memang kamu akan mendapati bahawa orang Kristian mendapat sukacita, keberanian, perubahan hidup dan lebih efektif bersaksi tentang Tuhan Yesus Kristus. Tetapi sedarkah kamu bahawa kesusahan, pencubaan dan penganiayaan tetap ada, malah lebih lagi? Bila ia terjadi, adalah kamu akan terus kekal bersama Dia atau kamu akan meninggalkan-Nya?

Jika salah satu sebab ini ialah tujuan atau motif kamu untuk datang ke Malam Pentakosta itu nanti, lebih baik JANGAN pergi kerana ia tidak akan menguntungkan kamu. Periksa motif kamu. Tetapi, PERGI, PERGI, PERGI kerana ini ialah acara/aktiviti yang besar dan PASTI akan membuahkan hasil yang luar biasa. Allah memberkati!

Akhir kata, saya tidak mahu dilihat sebagai seorang yang kritikal dan negatif. Saya percaya mukjizat dan sesuatu yang luar biasa akan terjadi pada Malam Pentakosta Roh Kudus & Penuaian. Kenapa saya yakin? Kerana beberapa sebab: Pertama, mustahil dalam 25,000 orang yang dijangka akan datang nanti tidak mempunyai sedikit iman pun. Sedangkan “iman sebesar biji sesawi” (Matius 17:20) pun boleh melakukan hal yang mustahil bagi manusia. Kedua, sebelum, semasa dan selepas Malam Pentakosta banyak doa-doa yang telah dan akan dicurahkan kepada TUHAN. “Kita dapat menghadap Allah dengan keyakinan bahawa Dia mengabulkan segala doa kita yang selaras dengan kehendak-Nya” (1 Yohanes 5:14). Ketiga, apabila umat Allah bersatu dan merendahkan diri di hadapan-Nya, Allah akan memberkati kita dan kita akan menjadi saksi yang kuat bagi orang yang belum percaya. Sarawak – malah Malaysia – perlukan kesaksian seperti ini! (baca Yohanes 17:23). Keempat, kesaksian dan kurnia yang Tuhan berikan kepada Pastor Philip Mantofa adalah sesuatu yang kita tidak boleh sangkal. Banyak saksi yang mengenal dan pernah pergi ke acara atau kebaktian saudara Mantafo memberi respon yang positif. Kita harus berdoa, menyokong dan menggalakan sesama saudara-saudari di dalam Kristus. Jangan menghakimi dan bersaksi bohong kecuali ada bukti kukuh jika disebaliknya.

Dan kelima, berdasarkan respon orang ramai tentang acara ini, jelas bahawa (mungkin secara luaran, motif siapa tahu kecuali Tuhan) orang haus akan TUHAN dan hadirat-Nya. “[Aku] akan mencurahkan air ke atas tanah yang gersang dan aliran air ke atas tanah yang kering. Aku akan mencurahkan roh-Ku ke atas keturunanmu dan berkat-Ku atas anak cucumu” (Yesaya 44:3). Siapa yang haus akan TUHAN? Datang kepada Yesus Kristus, Dia yang berkata: “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup” (Yohanes 7:38). “Air” yang dimaksudkan oleh Yesus ialah
ROH KUDUS! (ayat 39). Amen!



THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

5 comments:

  1. Mantap๐Ÿ‘๐Ÿ‘❤️❤️๐Ÿ˜

    ReplyDelete
  2. Is a good read. I really agree with your points, mungkin the title a bit misleading. I know you are not telling people don't go, you are just saying don't go with these 5 mentality

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun terfikir begitu juga. Saya terus berdoa supaya hanya kebenaran dalam Tuhan Yesus Kristus diagungkan๐Ÿ˜‰.HalleluYAH! Lima perkara itu tetap membangunkan, bukan & tidak mengerirukan.

      Delete
    2. Thank you Anonymous and Dominie :) I tried to be simple and as clear as possible. I probably should think of a better title (but none stick and as powerful as this) - and although it was blocked (actually my blog URL) from FB and Instagram, I still have videos ministry. Btw, click "not spam" if you already shared it on your wall. Thank you.

      Delete

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]